Jubir Hizbut Tahrir Malaysia : Pengharaman HTI Tidak Akan Memperlambat Tegaknya Khilafah!
Dua hari lepas (19/07/2017), pemerintah Indonesia dengan rasminya menarik balik pendaftaran Hizbut Tahrir Indonesia (HTI) sekaligus mengisytiharkan HTI sebagai sebuah pertubuhan haram. HTI memang telah lama dijadikan sasaran oleh pemerintah Indonesia (untuk diharamkan), khususnya setelah demonstrasi besar-besaran umat Islam tahun lalu menolak pemimpin kafir, Ahok, sebagai gabenor Jakarta.
HTI adalah kumpulan pertama diharamkan selepas Presiden Indonesia, Jokowi minggu lalu meluluskan Peraturan Pemerintah Pengganti Undang-undang (Perppu) yang memberi kuasa mutlak
kepada pemerintah untuk mengharamkan mana-mana pertubuhan yang dianggapnya bertentangan dengan Pancasila.
Tidak lama sebelum ini, pemerintah Indonesia sebenarnya telah pun “mengharamkan” HTI secara tak rasmi melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum dan Keamanannya, yang telah mengundang perdebatan massa di negeri umat Islam terbesar itu mengenai kedudukan Hizbut Tahrir.
Atas pengharaman HTI ini, saya ingin katakan kepada Presiden Indonesia, Pak Jokowi yang selama ini dilihat demokratik:-
1) Anda sekarang ini telah bertukar menjadi diktator atau lebih tepatnya, anda telah mengeluarkan sifat kediktatoran anda yang selama ini disembunyikan. Dengan kata lain, anda kini telah memperkenalkan diri anda yang sebenar kepada seluruh umat Islam, bukan sahaja di Indonesia.
2) Indonesia yang selama ini dikenali sebagai ‘negeri hukum (undang-undang)’ dan bukannya ‘negeri kuasa’ kini telah ditukar oleh anda menjadi ‘negeri kuasa’, suatu hal yang rakyat anda sendiri tidak mahukan.
3) Dengan mengharamkan HTI, anda telah merosakkan diri anda sendiri sebagai Muslim dan sebagai pemerintah. Anda telah meletakkan halal dan haram di tangan anda, sedangkan halal dan haram itu di tangan Allah SWT. Kewujudan Hizbut Tahrir sebagai sebuah kelompok dakwah adalah kerana mematuhi perintah Allah SWT di dalam al-Quran Surah Ali Imran ayat 104, dan kesemua aktiviti yang dilakukan oleh Hizbut Tahrir adalah aktiviti dakwah yang diwajibkan oleh Allah SWT. Dengan mengharamkan Hizbut Tahrir dan segala aktivitinya, maka sesungguhnya anda telah menghalang kewajiban dari dilaksanakan dan hal ini sudah pasti mengundang kemurkaan Allah SWT kepada anda!
4) Anda telah merosakkan Indonesia kerana apa yang dilakukan oleh Hizbut Tahrir adalah untuk kebaikan Indonesia itu sendiri sebagai sebuah negeri Muslim. Baik Indonesia, Malaysia atau negeri Muslim mana pun, hanya akan baik apabila syariah Allah SWT ditegakkan secara kaffah di situ. Nah inilah yang dilakukan oleh Hizbut Tahrir yakni berusaha menerapkan hukum Allah secara kaffah di bumi mana pun Hizbut Tahrir beraktiviti. Lalu anda menyekat, bahkan mengharamkan sebuah parti yang melakukan aktiviti untuk menegakkan syariah Allah!
5) Hizbut Tahrir sebagai sebuah parti Islam, berusaha siang dan malam untuk menegakkan kembali Negara Khilafah al-Rasyidah ala minhaj nubuwwah dan mempersatukan kaum Muslimin di seluruh dunia di bawah satu negara dan satu bendera, sebagaimana Rasulullah SAW dan para sahabat telah melakukannya. Lalu anda menghalang tugas yang wajib lagi mulia ini. Anda bukan sahaja sudah tidak punya malu kepada Allah dan kaum Mukminin, bahkan anda begitu berani melanggar perintah Allah yang mewajibkan kaum Muslimin bersatu di bawah satu kepimpinan dan satu negara.
6) Wahai sang presiden! Ingatlah bahawa apa sahaja usaha yang anda lakukan untuk menyekat dakwah Hizbut Tahrir tidak akan memperlambatkan penegakan syariah dan Khilafah walau sesaat pun. Sesungguhnya masa kekuasaan anda sudah semakin tamat dan masa kembalinya Khilafah sudah semakin dekat. Maka sedarlah bahawa apa yang anda lakukan itu bukan sahaja sia-sia di dunia, malah menjadi pemberat azab anda di akhirat. Maka ambillah peringatan ini dalam sisa-sisa waktu anda sebelum anda dipanggil menghadap Rabb anda.
7) Ingatlah wahai Pak Jokowi bahawa berapa ramai diktator dan rejim di seluruh dunia yang jauh lebih zalim dan lebih kuat daripada anda, telah dihinakan dan dibinasakan oleh SWT dengan kekuasaanNya, sebagaimana Allah SWT membinasakan Firaun dan pengikut-pengikutnya. Jika anda mengambil peringatan ini, maka bertaubatlah dan semoga Allah SWT menunjukkan anda ke jalan yang lurus dan membantu anda dalam pemerintahan dengan hidayah dan kasih sayangNya. Jika anda tetap meneruskan kezaliman anda, maka kepada Allah kami serahkan urusan anda.
Kepada teman-teman seperjuangan dalam HTI, saya mendoakan agar kalian terus sabar, istiqamah dan tingkatkan lagi perjuangan yang mulia ini. Saya yakin bahawa anda tidak akan tergoyah sedikit pun dengan pengharaman ini, malah ia akan menguatkan lagi tekad dan usaha kita ke arah penegakan syariah dan Khilafah. Sesungguhnya semakin kuat ujian yang menimpa kita akan menambahkan lagi keyakinan kita bahawa janji Allah itu semakin dekat. La haula wa la quwwata illa billah.
Abdul Hakim Othman
Juru bicara HTM